Monday, December 24, 2007

perjalananku....

It has been a while since I last wrote in the Malay language...

Sudah terlalu lama diri ini tidak menulis di dalam bahasa Melayu. Pasti lenggoknya sudah berbeza, rentak alunan bait kata sudah tidak ada irama merdunya. Tapi kalau dibiarkan lama-lama, takut terlupa langsung seni yang suatu masa dulu dimiliki. Entah mengapa kuat sungguh tarikan untuk menulis petang ini. Sedang hujan renyai-renyai di luar, terngiang di ingatan kenangan lama yang berat untuk dilupakan, namun hidup perlu diteruskan. Lama mana harus berpaut pada memori silam? Namun kenangan tetap kekal menjadi kenangan; kerana kenangan itulah yang membentuk diri ini, kenangan itulah yang membawa diri ini mengenal erti cinta dan kasih sayang. Hari ini kenangan baru menggubah cerita. Mencipta irama baru yang beralun tenang. Sungguhpun cerita lama masih mengusik hati, tetapi kesedaran menjelma, sesungguhnya hati yang pernah dilukai tidak akan kekal luka selamanya. Tuhan itu maha berkuasa. Semusim ini diizinkan kasih sayang kembali mengetuk pintu hati. Walau kekeliruan tetap berlegar di ruang fikiran, kesyukuran tetap dipanjatkan kerana mata ini bisa kembali terbuka untuk melihat keriangan, hati ini bisa terbuka untuk menerima kehadiran seorang insan yang bernama lelaki. Tidak diketahui ke mana arah tujuan musim ini, namun kaki ini akan terus melangkah untuk mencari jawapan. Buat waktu ini, di sini hatiku bermukim. Yang selebihnya diserahkan pada Yang Maha Esa. Samada kasih sayang ini akan tetap kekal pada akhir musim, atau berlalu pergi seperti angin beralih arah, masih tidak ada jawapan yang pasti. Apa yang pasti ialah hati ini tidak gentar untuk menghadapi apa saja kemungkinan. Kasih sayang mengajar erti ketabahan, cinta mengajar erti kesabaran, keimanan mengajar erti keredhaan. Mungkin inilah yang selama ini dicari...apakah ia akan kekal abadi? Atau berlalu meninggalkan debu di hati? Hanya Tuhan yang maha mengetahui...

No comments: